12 December 2008

Kisah Sekeping Hati

Al-Qobidh Al-Basith


Hati memainkan peranan penting dalam menentukan baik atau buruknya seseorang. Kita tidak boleh melihat atau menilai isi hati orang lain melainkan Allah yang maha mengetahui hambaNya.

Pernah seseorang berkata kepada saya, "Allah memberi hidayah kepada semua orang, cuma hati manusia ini tertutup rapat. Hidayah tidak boleh masuk." Saya sangat bersetuju kerana memang wujud golongan yang sering berkata, "Hidayah belum datang. Tunggu dah tua nanti taubat la."

Betulkah hidayah belum datang? Adakah kita tahu bila saat kematian kita? Adakah time dah tua? So time tu baru nak bertaubat? Sempatkah? Mampukah kita? Tanya hati, jawab sendiri..

Apabila Hati Telah Berkarat...

Sesiapa yang lalai daripada mengingati Allah SWT, sesungguhnya hati dan jiwanya kosong. Hati yang rosak boleh menyebabkan seseorang itu semakin jauh daripada Allah.

Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dirosakkan oleh air. Seorang sahabat bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati bersinar kembali?" Maka jawab Rasulullah SAW, "Banyakkan mengingati maut dan membaca Al-Quran."

Riwayat Baihaqi daripada Ibn Umar. Rasulullah SAW bersabda : "Seseorang yang tiada mempunyai sebarang ayat (Al-Quran) pun dalam hatinya adalah seumpama sebuah rumah yang kosong." (Riwayat At Tirmizi)


Bagaimana Nak Memelihara Hati?

"Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati manusia." [al-Ra'd 13:28]

Sesungguhnya penawar hati yang paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa ialah zikrullah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Zikrullah itu penawar hati."

Antara tips lain menjaga hati supaya sentiasa bersih :
  • sambut seruan Allah
  • menjaga lidah dan berbuatan
  • menjaga hubungan dengan manusia
  • ikhlas dalam semua perkara
  • menjauhkan diri daripada perkara yang melalaikan
Kebaikan Hati Yang Bersih

Hati yang sentiasa mengingati Allah tidak mudah goyah apabila ditimpa musibah kerana kekuatan dan ketabahan hati boleh menjadikan seseorang itu hebat. Antara kebaikan hati yang bersih :
  • Mudah untuk menerima hidayah Allah
  • Jauh daripada sifat mazmumah
  • Tenang dan berasa dekat dengan Allah
  • Memeliharan diri daripada hasutan syaitan
  • Penawar kepada hati yang gundah gulana, resah dan tak tenteram.
Seperti yang kita tahu sebelum peristiwa Israk Mikraj, dada Rasulullah SAW dibedah lalu hati Baginda dicuci dengan air zamzam supaya dibuang ketul hitam. Selepas itu barulah Baginda diangkat naik berjumpa Allah. Maka sedarlah kita bahawa hati kita perlu bersih daripada sebarang kotoran jika ingin berjumpa dengan Allah.

"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)." [Asy-Syams 91:9]

Wallahu'alam...

No comments: